Anak Autisme: Di Kala Situasi Covid-19

Updated: Apr 20, 2020

2 April adalah tarikh kesedaran Autisme Sedunia. Satu daripada 160 kanak-kanak di dunia mengalami autisme. Ujian saringan M-CHAT boleh membantu mengenal pasti tanda awal autisme di kalangan kanak-kanak seawal 18 usia 18 bulan.

Kesedaran autisme di kalangan rakyat Malaysia dan seluruh dunia umumnya sudah banyak meningkat dengan adanya pelbagai program oleh banyak pihak. Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang berlaku di dunia ini, para keluarga yang mempunyai anak autisme juga tidak terlepas dari pelbagai cabaran. Berserta dengan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan, rutin harian anak-anak autisme sedikit sebanyak terganggu dan ini menimbulkan kesulitan kerana mereka agak tegar dengan rutin harian.



Credit picture : <a href="https://www.freepik.com/free-photos-vectors/children">Children vector created by studiogstock - www.freepik.com</a>


Oleh itu, terdapat beberapa cadangan aktiviti yang boleh dikongsikan di sini untuk ibu bapa dan penjaga sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan:

  1. Mengadakan sesi bercerita secara ringkas mengenai Covid-19 dengan menerangkan bahaya jangkitan dan kepentingan untuk berada di rumah.

  2. Menukar jadual harian anak anda dengan membuat jadual bergambar berserta masa tertentu untuk setiap aktiviti seperti waktu makan, waktu tidur, waktu bermain, 'screen time' dan sebagainya. Sekiranya boleh, jadual aktiviti juga boleh disamakan seperti jadual aktiviti di sekolah. Jangan beri terlalu banyak pengecualian dan layanan khas bagi memudahkan perubahan jadual kerana ini boleh menyebabkan situasi mereka bercelaru dan menecetuskan keresahan.

  3. Galakkan aktiviti di dalam rumah dan senaman ringan. Ibu bapa dan keluarga hendaklah sentiasa positif dan gunakan masa ini untuk menjalankan aktiviti bersama-sama dan lakukan secara riang.

  4. Digalakkan tidak menunjukkan keresahan di depan anak-anak dan tidak perlu berbincang mengenai angka jangkitan Covid-19 yang kian meningkat, kekurangan peralatan perubatan dan sebagainya. Anak-anak dapat merasai keresahan ibu bapa dan sekiranya mereka bertanya, jawablah seringkas mungkin.

Semoga perkongsian ini dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak autisme. Kami di Toy Library Hospital Naluri sedia membantu sekiranya ibu bapa mempunyai persoalan atau memerlukan sokongan.

Sama-sama kita menjayakan usaha membendung wabak jangkitan Covid-19 ini.


Artikel disediakan oleh:

Dr Nik Raihan Haji Mohamed

Doktor Pediatrik Hospital Wanita & Kanak-Kanak Naluri


#anakautisme #kanakkanakistimewa #autisme #worldaustimday #worldautismawarenessday #hariautismesedunia #covid19 #hospitalnaluri

82 views

KKLIU 1027/2020