Kanak-Kanak Down Syndrome Bermain : Faedah & Keperluan

21 March adalah hari sambutan Down Syndrome sedunia bagi meningkatkan kesedaran global terhadap Down Syndrome. Kanak-Kanak Down Syndrome jugasama seperti kanak-kanak lain yang mempunyai hak untuk bermain.

Bermain adalah aktiviti yang bermotivasi secara semulajadi melibatkan penglibatan aktif dan menghasilkan penemuan yang menggembirakan. Bermain adalah sukarela dan selalunya tidak mempunyai tujuan tertentu, menyeronokkan dan spontan.

Credit Picture : <a href="https://www.freepik.com/free-photos-vectors/woman">Woman photo created by freepik - www.freepik.com</a>


Bermain adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak tipikal juga kanak-kanak Down Syndrome. Berikut adalah di antara sebab-sebab mengapa kanak-kanak ini perlu bermain:


  1. Meningkatkan kemahiran berfikir kerana kanak-kanak banyak meneroka, mencuba dan membuat kesilapan, mengalami sendiri dan berfikir untuk menyelesaikan masalah semasa bermain.

  2. Meningkatkan kepekaan deria dengan merangsang penggunaan deria melihat, mendengar, rasa dan sentuhan.

  3. Meningkatkan kekuatan dan koordinasi motor halus dan motor kasar. Kanak-kanak akan menggunakan seluruh anggota badan untuk bergerak dan memanipulasikan alat permainan.

  4. Menyihatkan tubuh badan. Bermain adalah salah satu cara bersenam yang bagus untuk kanak-kanak.

  5. Meningkatkan kemahiran sosial dan menggalakkan komunikasi antara kanak-kanak. Bermain juga digunakan dalam intervensi bagi membantu kanak-kanak bertutur.

  6. Membentuk dan mengawal emosi. Bermain berseorangan atau bersama ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan dapat membantu mereka untuk mengekspresikan emosi dan juga mengenal pasti emosi orang lain.


Namun begitu, tahap bermain adalah berbeza di antara kanak-kanak tipikal dan kanak-kanak Down Syndrome mahupun kanak-kanak berkeperluan khas lain. Ini kerana, tahap bermain mereka berkait rapat dengan perkembangan kognitif dan umur mental.

Dalam satu kajian yang dijalankan bagi memerhati cara dan keupayaan bermain di antara kanak-kanak tipikal dan kanak-kanak Down Syndrome, didapati kanak-kanak Down Syndrome kurang mengeksplorasi objek atau keadaan sekeliling. Mereka juga menggunakan pergerakan motor kasar seperti memanjat, melompat dan merangkak. Dalam permainan olok-olok, mereka kurang melibatkan diri dan hanya menggunakan beberapa objek terhad dan cenderung mengulangi perbuatan yang sama berulang-ulang. Dari segi permainan sosial, tindak balas mereka agak perlahan dan pelu diberikan lebih masa untuk mendapatkan respon.

Oleh itu, kanak-kanak Down Syndrome memerlukan lebih bimbingan dan sokongan daripada orang dewasa sama ada ibu bapa atau penjaga ketika bermain. Kanak-kanak ini akan lebih berkeupayaan untuk bermain jika disertai oleh orang dewasa. Ini terbukti dalam pemerhatian yang dibuat di mana apabila ibu menyertai anak-anak Down Syndrome bermain, mereka akan menunjukkan lebih banyak kepelbagaian tindak balas.

Kesimpulannya, "We Decide" - bagi memberi peluang untuk anak-anak Down Syndrome memilih dan membuat keputusan sendiri ketika bermain dan kita perlu menyertai mereka dalam apa jua jenis permainan atau corak permainan yang dipilih. Aktiviti ini akan menjadi satu aktiviti keluarga yang berfaedah untuk perkembangan dan kebahagiaan sesebuah keluarga


Artikel disediakan oleh:

Dr Nik Raihan Haji Mohamed Doktor Pediatrik Hospital Wanita & Kanak-Kanak Naluri


#worlddownsyndromeday #21march #wedecide #rightstoplayforall #specialkids #kanakkanakistimewa #haridownsydromesedunia #kanakkanak #kanakkanakbermain

25 views

Recent Posts

See All

KKLIU 1027/2020